Total Pageviews

Sunday, March 3, 2013

Sultan Sulu Tidak Diiktiraf

MANILA – Kesahihan arahan pemimpin yang dikenali sebagai Sultan Sulu, Jamalul Kiram III menghantar pasukan ‘tentera diraja’ ke Sabah pada 12 Februari lalu dipertikai, menurut akhbar dalam talian ABN News.

Ia ekoran beberapa penyelidikan menunjukkan pemerintahannya sebagai Sultan Sulu tamat pada 1990.Media asing dan beberapa sumber di internet sebaliknya menyatakan adiknya, Esmail Kiram II adalah Sultan Sulu yang sah.

Berusia 74 tahun, Kiram III mendakwa bahawa beliau ialah ketua kerajaan Kesultanan Islam Sulu sekarang.

Kesultanan Sulu mendapat perhatian umum apabila Kiram III menghantar pasukan ‘tentera diraja’ bagi menuntut Sabah pada 12 Februari lalu.

Akhbar The Philippine Inquirer melaporkan pada satu sidang akhbar di Istana Malacanang di sini, Presiden Benigno Aquino III menyatakan terdapat kesangsian dalam keturunan kesultanan tersebut.

Menurutnya, selepas pemerintahan Sultan Jamalul Kiram II tamat pada 1936, baginda meninggal dunia tanpa seorang pewaris.

Justeru, Aquino berkata, beliau telah mengarahkan satu kajian dilakukan melibatkan aspek undang-undang berhubung tuntutan Kiram III ke atas negeri Sabah di Malaysia.

“Kajian ini agak menyeluruh,” katanya.

Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf pemerintah Filipina ialah Ismael Kiram I pada 1974. Selepas kematiannya pemerintah Filipina enggan mengiktiraf sultan-sultan seterusnya walaupun mereka ditaati oleh penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Filipina menyatakan tiga orang termasuk dua anggota polis terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dengan kumpulan lelaki bersenjata Filipina tersebut berhubung pertikaian tuntutan ke atas Sabah.

Insiden itu berlaku selepas berpuluh-puluh pengikut Kiram III belayar dari selatan Filipina untuk menuntut Sabah.

Sebelum ini Kiram III memberitahu, Kesultanan Islam Sulu pernah menguasai sebahagian Pulau Borneo termasuk Sabah selain beberapa gugusan pulau di selatan Filipina.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Jabatan Luar Filipina, Raul Hernandez yang memetik kenyataan Duta Malaysia berkata, turut terbunuh dalam pertempuran itu ialah pemilik rumah yang diduduki ketua kumpulan bersenjata tersebut.

Namun, katanya, kewarganegaraan pemilik rumah berkenaan tidak dapat dipastikan.

“Duta Malaysia juga menyatakan bahawa saki baki kumpulan pengikut Kiram III di Lahad Datu melarikan diri ke arah laut,” katanya.

Menurutnya, 10 anggota kumpulan Kiram III turut ditangkap.

Tambah Hernandez, beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan seorang jurucakap di Manila bagi pihak kumpulan pengikut Kiram yang mendakwa pasukan keselamatan Malaysia menembak mati 10 anggota mereka dan mencederakan empat yang lain.

Jelasnya, Manila telah meminta maklum balas rasmi berhubung operasi keselamatan tersebut dari Kuala Lumpur.

Tambah jurucakap sama, Duta Malaysia menyatakan kepadanya bahawa konfrontasi itu sudah berakhir.

Sementara itu, jurucakap Kiram III, Abraham Idjirani mendakwa penembak-penembak tepat Malaysia telah membunuh 10 pengikut sultan tersebut dan mencederakan empat lagi anggota kumpulan berkenaan.

“Saya bercakap dengan ketua kumpulan Kiram melalui telefon sebentar tadi (semalam) dan bertanya berapa pengikutnya yang mati. Dia menjawab 10 orang. Saya menanyakan angka kecederaan dan dia berkata, empat orang,” kata Idjirani dalam satu sidang media di kediaman Kiram di sini.

Idjirani menegaskan bahawa pengikut-pengikut Kiram III berikrar akan terus berjuang dan tidak akan meninggalkan Sabah.

Ketua mereka, Raja Muda Agbimuddin Kiram iaitu adik Kiram III berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap dan masih berada di Sabah bersama beberapa pengikutnya untuk terus bertempur, jelas Idjirani.

“Ini (pertempuran) baru permulaan,” ujarnya.

Kesultanan Islam Sulu memajak Borneo Utara (Sabah) kepada kuasa Eropah pada tahun 1870-an.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Malaysia menyatakan, 12 warga Filipina dan dua anggota polis Malaysia terbunuh dalam insiden semalam.

Selepas kekuasaan kesultanan itu beransur pudar ekoran kemasukan kuasa Barat di rantau berkenaan, ia masih menerima bayaran pajakan untuk Sabah.

Sabah yang merupakan bekas koloni British menjadi sebahagian persekutuan Malaysia pada 1963.

Berdasarkan perjanjian pajakan tersebut, kesultanan Sulu diberikan pampasan tahunan berjumlah sekitar AS$1,700 (RM5,264) menurut nilai semasa. – Agensi

No comments:

Post a Comment